SMJE Peroleh 20 Peratus Kepentingan dalam North Sabah EOR PSC

Feb 2026newssabah-news
Hajiji dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik menyaksikan pertukaran dokumen FOA 2011 Kontrak Perkongsian Pengeluaran North Sabah EOR antara PETRONAS Carigali Sdn Bhd yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Hazli Sham Kassim dan SMJ Energy Sdn Bhd yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dr Dionysia Kibat di Kuala Lumpur.

SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) memperoleh 20 peratus kepentingan dalam North Sabah Enhanced Oil Recovery Production Sharing Contract (EOR PSC) susulan pemeteraian Perjanjian Farm-Out (FOA) bersama PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) pada 9 Februari 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata pencapaian itu mencerminkan strategi jangka panjang Kerajaan Negeri untuk memperkukuh sektor tenaga melalui pelaburan berkualiti dan kerjasama erat dengan PETRONAS. Pengambilalihan berkuat kuasa 1 Januari 2026 itu menyusuli Perjanjian Dasar Induk (HOA) yang ditandatangani pada November 2025. Ini merupakan pengambilalihan huluan kedua SMJE selepas penyertaannya dalam PSC Samarang pada April 2023, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai pemain strategik industri minyak dan gas Sabah.

North Sabah EOR PSC merangkumi empat medan minyak di luar pesisir Kota Belud, melibatkan 20 platform yang disambungkan ke Terminal Minyak Mentah Labuan. Selepas transaksi, SMJE memegang 20 peratus kepentingan bukan pengendali, SEA Hibiscus Sdn Bhd kekal sebagai pengendali dengan 50 peratus, manakala PCSB memegang 30 peratus. Langkah ini dijangka meningkatkan penghantaran minyak mentah SMJE daripada 4.7 kargo pada 2025 kepada 7.0 kargo pada 2026, sekali gus memperkukuh hasil dan jaminan bekalan negeri.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan dan Pengerusi SMJ Energy, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata penyertaan itu menjamin nilai jangka panjang dan manfaat lebih besar kepada rakyat Sabah.

Terdahulu, turut berlangsung pertukaran dokumen HOA antara PETRONAS dan Sabah Energy Corporation (SEC) bagi pembangunan Kluster Mutiara yang disasar beroperasi pada suku pertama 2029, serta PSC Kluster Permata antara PETRONAS dan Bridge Petroleum Limited di luar pesisir Sabah.