Pertukaran MoU SOGDC dan EA Gibson
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn. Bhd. (SOGDC) dan rakan strategik antarabangsa bagi cadangan pembangunan hab tenaga di Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP), pada 13 April 2026 di Menara Kinabalu.
Majlis itu berlangsung sempena kunjungan hormat delegasi SOGDC yang diketuai Pengerusinya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya bersama Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan, Mohd Azmir Ramli serta barisan rakan industri termasuk ACWA Power, Aboitiz Power Ltd dan WEC.
Cadangan pembangunan tersebut melibatkan hab penyimpanan dan pengagihan tenaga bersepadu di kawasan kira-kira 275 ekar, merangkumi kemudahan gas asli cecair (LNG), ammonia dan hidrogen, selain pembangunan infrastruktur petrokimia serta penjanaan tenaga.
Sebagai komponen utama, kajian kebolehlaksanaan akan dilaksanakan bersama ACWA Power bagi pembinaan loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) berkapasiti antara 400 hingga 500 megawatt. Aboitiz Power pula meneliti pembangunan sistem grid penghantaran tenaga, manakala WEC mempertimbangkan pembinaan jeti dan tangki simpanan.
Sementara itu, Saudi Aramco turut menyatakan minat awal untuk menyertai projek berkenaan sebagai rakan strategik serta pembekal utama LNG. Hajiji berkata, inisiatif itu selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkasa sektor tenaga sebagai pemacu utama ekonomi Sabah.
“Cadangan ini berpotensi menarik pelaburan berkualiti tinggi, mewujudkan peluang pekerjaan serta merangsang pertumbuhan industri hiliran di negeri ini,” katanya. Beliau menegaskan kerajaan negeri komited menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif serta memastikan pembangunan yang dilaksanakan memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Menurutnya, pembangunan SOGIP sebagai hab tenaga bersepadu akan memperkukuh daya saing Sabah dalam industri minyak dan gas serta menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang negeri.




