Ketua Menteri Tinjau Lokasi Kebakaran, Salur Bantuan Kepada Mangsa Kebakaran
Ketua Menteri Hajiji Noor turun padang meninjau lokasi kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan serta menyampaikan bantuan khas kepada mangsa yang terjejas, pada 20 April 2026. Kebakaran yang berlaku pada 19 April itu memusnahkan hampir 1,000 rumah dan disifatkan sebagai antara kejadian terbesar melibatkan kawasan penempatan berkenaan.
Hajiji berkata kerajaan negeri amat bersimpati dengan nasib mangsa dan telah menyalurkan bantuan segera bagi meringankan beban mereka. Sebagai bantuan awal, setiap Ketua Isi Rumah (KIR) menerima RM2,000.
“Kerajaan berharap bantuan ini dapat membantu mangsa menghadapi situasi sukar ketika ini,” katanya selepas meninjau keadaan di lapangan.
Selain itu, Pusat Zakat Sabah dan Perbadanan Baitulmal Sabah turut menghulurkan sumbangan kepada mangsa. Enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan mereka yang terjejas.
Menurut beliau, kawasan tersebut sebelum ini merupakan penempatan pelarian di bawah UNHCR dan kerajaan bercadang membangunkannya sebagai perkampungan yang sah, tertakluk kepada laporan terperinci pihak berkuasa berkaitan.
Hajiji turut memaklumkan bahawa kira-kira 70 peratus mangsa adalah bukan warganegara, manakala selebihnya rakyat Malaysia. Bagaimanapun, beliau menegaskan bantuan akan disalurkan kepada semua mangsa tanpa mengira status kewarganegaraan.




