Sabah Perlu Lebih Ramai Pemimpin Wanita
Ketua Menteri Hajiji Noor menekankan keperluan melahirkan lebih ramai kepimpinan wanita di Sabah melalui pelaksanaan program pendidikan, keusahawanan dan pembangunan kepimpinan yang berterusan.
Beliau memuji peranan Majlis Penasihat Wanita Sabah yang bekerjasama dengan pelbagai agensi, khususnya Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah, dalam memperkasa golongan wanita di negeri ini.
“Saya mahu melihat lebih ramai wanita terlibat secara aktif dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kepimpinan melalui inisiatif yang dilaksanakan,” katanya ketika menerima kunjungan delegasi MPWS yang diketuai pengerusinya, Datuk Dr Hajah Rosmawati Haji Lasuki, di Menara Kinabalu pada 21 April 2026.
Menurut beliau, usaha seperti program kepimpinan Global Women @ Sabah (Glow@Sabah) yang dilaksanakan MPWS mampu mengenal pasti wanita berpotensi serta membimbing mereka mencapai tahap kepimpinan yang lebih tinggi.
Dalam perkembangan sama, MPWS dijadual menganjurkan sambutan Hari Wanita Negeri pada 9 September 2026 sebagai platform memperkukuh peranan dan sumbangan wanita dalam pembangunan Sabah.




