Sabah Sokong Aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035
Kerajaan Sabah menyatakan sokongan penuh terhadap aspirasi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 dengan memberi fokus kepada pendidikan digital dan infrastruktur, kesejahteraan guru, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada aspek keadilan pendidikan, pendidikan inklusif di luar bandar, penerapan nilai dan identiti tempatan serta pemerkasaan kepimpinan sekolah. Menurut beliau, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan diyakini mampu menangani isu kritikal seperti sekolah daif dan kekurangan guru di kawasan pedalaman Sabah secara menyeluruh dalam tempoh pelaksanaan rancangan 10 tahun itu.
“Kerajaan negeri sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan bagi memperkasa kecemerlangan dan meningkatkan mutu pendidikan di Sabah, termasuk menambah baik prasarana pendidikan. Kehadiran pegawai kanan Kementerian Pendidikan Malaysia hari ini mencerminkan hubungan kukuh antara kerajaan negeri dan Persekutuan, khususnya pada fasa awal pelaksanaan RPM 2026-2035. Pendidikan terus menjadi agenda utama kerajaan negeri menerusi pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), walaupun sektor pendidikan berada di bawah tanggungjawab kerajaan Persekutuan, " kata Hajiji ketika merasmikan Konvensyen Pendidikan dan Persidangan Agung Perwakilan Kali Ke-4 Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, pada 10 Mei 2026.
Katanya, sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, kerajaan negeri memperkenalkan 14 bantuan pendidikan dan semua inisiatif itu diteruskan tahun ini bagi membantu mengurangkan beban sekolah serta memastikan murid di Sabah tidak tercicir daripada arus pendidikan perdana. Antara bantuan yang disediakan termasuk Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS), Bantuan Tunai Khas Peperiksaan (BAKTI) dan Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS). Turut disediakan ialah Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU), Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA), Sumbangan Kegiatan Sekolah Sabah (SUKSES), selain biasiswa, dermasiswa, pinjaman pengajian dan bantuan zakat.
Ketua Menteri turut menegaskan bahawa Guru Besar memainkan peranan penting sebagai pemimpin utama sekolah dan menjadi tunjang dalam membentuk kualiti pendidikan serta masa depan generasi muda di Sabah. Beliau berkata, cabaran dunia pendidikan masa kini memerlukan pemimpin sekolah yang bukan sahaja cekap dalam pentadbiran, tetapi juga mempunyai empati tinggi terhadap warga sekolah serta mampu memimpin perubahan. “Saya berharap persidangan ini menjadi platform terbaik untuk merangka hala tuju masa depan, menilai pencapaian serta membincangkan strategi dalam menyokong agenda pendidikan negara. Saya juga berharap PGBM Sabah terus menjadi wadah yang kukuh dalam menyuarakan aspirasi Guru Besar demi memartabatkan profesion keguruan,” katanya.
Ucapan Ketua Menteri itu disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk James Ratib.




