10,825 KIR Berjaya Keluar Daripada Kategori Miskin Tegar

berita-sabahJune 2026news

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Sabah berjaya mencapai sifar Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar daripada jumlah yang direkodkan pada Januari 2026 melibatkan seramai 10,825 KIR. Beliau berkata, berdasarkan data eKasih sehingga 31 Mei 2026, kesemua KIR miskin tegar yang dikenal pasti pada awal tahun berjaya dikeluarkan daripada kategori tersebut hasil pelaksanaan pelbagai program bantuan dan intervensi secara bersepadu oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Sehingga 31 Mei 2026, seramai 57,710 KIR masih berada dalam kategori miskin berbanding 70,298 KIR pada Januari lalu, iaitu penurunan sebanyak 17.9 peratus dalam tempoh empat bulan,” katanya ketika melancarkan Program Outreach Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) daerah Tuaran di Dewan Sri Sulaman, Tuaran pada 16 Jun 2026. Hajiji berkata, jumlah keseluruhan individu dalam kategori miskin yang merangkumi KIR dan Ahli Isi Rumah (AIR) turut berkurangan daripada 743,939 orang pada Januari 2026 kepada 577,110 orang pada Mei 2026.

Beliau berkata, pencapaian sifar miskin tegar pada tahun 2026 merupakan satu kejayaan penting dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat dan membangunkan negeri secara lebih inklusif. Namun, katanya, cabaran utama yang masih perlu ditangani ialah mengurangkan kadar kemiskinan keseluruhan Sabah agar menghampiri kadar nasional menjelang tahun 2030. Sehubungan itu, Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 menetapkan sasaran mengurangkan kadar kemiskinan mutlak kepada sekitar tiga hingga lima peratus serta mengekalkan kadar miskin tegar pada paras sifar hingga 0.1 peratus menjelang tahun 2030.

“Kerajaan Negeri meletakkan agenda pembasmian kemiskinan sebagai antara keutamaan pembangunan negeri bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan dan setiap rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera. “Usaha ini telah dilaksanakan menerusi Pelan Pembangunan SMJ 1.0 dan akan terus diperkukuhkan di bawah Pelan Pembangunan SMJ 2.0,” katanya.