Kerajaan Negeri Perluas Akses Pendidikan, Sokongan Anak Berkeperluan Khas
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memperluas akses pendidikan, intervensi awal dan sokongan kepada kanak-kanak berkeperluan pendidikan khas. Beliau berkata kerjasama itu melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri, sekolah, ibu bapa, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.
Katanya, kerajaan memperuntukkan RM173.56 juta pada 2026 kepada Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat serta jabatan dan agensi di bawahnya bagi melaksanakan agenda kebajikan dan kesejahteraan rakyat, termasuk bantuan kepada golongan OKU, warga emas, kanak-kanak, ibu tunggal, anak yatim serta golongan daif dan miskin.
Berucap pada perasmian The Neurohope Programme 2026 di Dewan SK Bingkor, Keningau pada 18 Julai 2026, Hajiji berkata Pusat Autisme Sabah (PAUS) turut diperluas secara berfasa ke Tawau, Sandakan, Kudat dan Beaufort mulai tahun ini.
Beliau berkata PAUS menyediakan pendidikan awal berkualiti dan mampu milik kepada kanak-kanak autisme berusia tiga hingga tujuh tahun, selain PAUS Kota Kinabalu di Sembulan yang kini sedang beroperasi.
Hajiji turut memuji The Neurohope Programme sebagai gerakan komuniti yang menghimpunkan sektor pendidikan, kesihatan, kerajaan, ibu bapa dan masyarakat bagi membina ekosistem sokongan yang lebih holistik untuk perkembangan kanak-kanak.
Beliau berharap program itu diperluas ke lebih banyak sekolah, komuniti dan daerah bagi memperkukuh pendidikan inklusif serta memperkasa keluarga di seluruh Sabah.
Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun.



