RM100 Juta Perkukuh Biasiswa Anak Sabah

berita-sabahJuly 2026news

Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM100 juta bagi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) untuk tahun 2026 bagi menyokong pelajar di peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan sarjana, dengan keutamaan kepada bidang STEM. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, peruntukan itu menampung pelajar sedia ada serta 2,182 tajaan baharu, menjadikan jumlah keseluruhan penerima BKNS mencecah 13,389 orang.

Berucap pada Majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-37 di SICC, Kota Kinabalu pada 30 Julai 2026, beliau menegaskan pendidikan kekal menjadi keutamaan dalam melahirkan modal insan berilmu, berkemahiran dan berdaya saing. Bagi 2026, kerajaan turut menambah 10 penerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah, menjadikan keseluruhannya 60 penerima, selain menawarkan pelbagai skim termasuk Biasiswa TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah, Biasiswa Perdana, Biasiswa Cemerlang serta Biasiswa Program B40 dan Luar Bandar. Kumpulan Yayasan Sabah juga meningkatkan penerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah kepada 50 orang.

Dalam sektor kesihatan, seramai 30 anak Sabah akan mengikuti program pembangunan bakat dalam bidang perubatan dan kesihatan menerusi kerjasama Yayasan Sabah, Institut Jantung Negara (IJN) dan IJN University College. Selain itu, 15 pelajar sedang mengikuti Program Pembantu Perawatan Pesakit melalui inisiatif Yayasan Sabah dan University College Sabah Foundation (UCSF).

Kerajaan turut meneruskan pelbagai bantuan pendidikan. Sejak diperkenalkan, Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah (BCKNS) telah memberi manfaat kepada 835 penerima dengan perbelanjaan RM141.29 juta, manakala Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) membantu 15,629 penerima melibatkan lebih RM25 juta. MUIS pula menyalurkan lebih RM12.7 juta bantuan pendidikan sepanjang Januari hingga Jun 2026.

Selain itu, 14 inisiatif pendidikan seperti BUDI, BAKTI, BAIK, SUBFLY dan SENTOSA terus dilaksanakan bagi meringankan beban pelajar. Hajiji turut menyifatkan peningkatan keputusan SPM 2025, dengan Gred Purata Negeri (GPN) bertambah baik kepada 4.85 berbanding 5.00 pada tahun sebelumnya, sebagai petanda positif. Beliau menggalakkan pelajar terus cemerlang serta meneroka bidang strategik seperti minyak dan gas, tenaga, TVET dan kecerdasan buatan (AI).