Belanjawan Negara 2027 Ringankan Beban Rakyat

berita-sabahnewsOctober 2026

Sabah terus menerima peruntukan Persekutuan terbesar dengan jumlah RM18.6 bilion bagi 2027, meningkat 6.25 peratus berbanding RM17.6 bilion pada 2026.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Belanjawan Negara 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen merupakan belanjawan menyeluruh yang bertujuan meringankan beban kewangan rakyat.

“Belanjawan 2027 memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia menerusi pengurangan cukai serta insentif kepada penjawat awam, sektor perniagaan dan semua lapisan masyarakat,” katanya selepas menyaksikan siaran langsung pembentangan belanjawan itu di Menara Kinabalu.

Menurut Hajiji, belanjawan berkenaan turut mencerminkan kekuatan ekonomi dan kedudukan kewangan negara meskipun berdepan kesan krisis berterusan di Asia Barat. Dalam pembentangan itu, Anwar berkata projek jalan raya di Sabah dan Sarawak akan diteruskan dengan peruntukan RM3.3 bilion.

Selain itu, jumlah biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi pelajar dari Sabah dan Sarawak akan digandakan, melibatkan 4,200 pelajar dari kedua-dua negeri berkenaan.

Bagi memperkukuh sistem bekalan elektrik Sabah, kerajaan akan memasang sistem Static Synchronous Compensator (STATCOM) di Pencawang Masuk Utama Dam Road dan Segaliud dengan kos RM204 juta. Projek Talian Penghantaran Southern Link turut diteruskan sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan kemampanan bekalan elektrik di Sabah.