Hajiji Menyeru Rakyat Sabah Menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Sabah dengan Semangat Patriotisme

August 2024berita-sabahnews

Sambutan Hari Sabah lebih bermakna kerana ia diraikan bersama dengan Hari Kebangsaan mulai tahun 2024, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Tarikh 31 Ogos setiap tahun adalah penting dalam sejarah, bukan sekadar untuk mengenang dan meraikan tetapi untuk dihayati dalam semangat patriotisme serta menghargai keberanian dan pengorbanan besar pejuang kemerdekaan negara.

Dengan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia di Sabah supaya istiqamah dalam menjaga kedaulatan negara dan terus menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Sabah dengan penuh semangat kerana kemerdekaan adalah anugerah yang tidak ternilai.

Perkara yang menyatukan kita adalah melalui keamanan, keharmonian, perpaduan dalam kepelbagaian dan aspirasi kita untuk kemajuan dan pembangunan jauh mengatasi perkara yang memecahbelahkan kita. “Marilah sematkan dalam hati sanubari kita bahawa sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah adalah milik kita. Marilah kita berdiri teguh menyokong kerajaan dan tidak terpengaruh dengan perkara negatif yang mengancam untuk memecahbelahkan kita," katanya pada 30 Ogos 2024, dalam Perutusan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2024.

Hajiji berkata, tema sambutan Hari Kebangsaan 2024 "Malaysia Madani: Jiwa Merdeka" menunjukkan komitmen kerajaan untuk terus membangunkan masyarakat yang adil dan makmur. Ketua Menteri turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2024 kepada semua rakyat Malaysia.