Kerajaan Fokus Pendidikan dan Modal Insan
Keutamaan dalam pendidikan dan modal insan akan diutamakan kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Peruntukan untuk pendidikan, termasuklah Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) pada tahun 2025 berjumlah RM127 juta untuk membantu lebih ramai lagi anak-anak Sabah yang berkelayakan, yang memerlukan bantuan dari segi pembiayaan kos pengajian mereka di institusi pengajian tinggi.
Tambahan itu, bantuan lain seperti Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) “one off”, Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI), Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA), Bantuan Aktiviti PIBG (BAGUS), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) dan Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU)”, juga di peruntukkan katanya pada 23 November 2024 di Majlis Perasmian Bangunan Baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Rugading, Tuaran.

Hajiji berkata, Kerajaan Sabah akan sentiasa berusaha memastikan generasi muda memiliki asas pendidikan yang kukuh, lengkap dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan agar mereka dapat menghadapi masa depan dengan penuh keyakinan. Selain itu, bantuan kepada pelajar Tingkatan 6 di Saba juga akan dipertimbangkan.
Cadangan sebuah sekolah baharu untuk dibina di kawasan Rugading bagi menampung jumlah murid yang terus meningkat setiap tahun. Dengan itu, suasana pembelajaran yang kondusif dan dilengkapi dengan kemudahan terkini dapat mendorong pelajar untuk belajar dengan lebih baik dan memudahkan mereka mencapai potensi diri yang sebenar. “Saya yakin, dengan adanya kemudahan ini, SK Rugading akan terus mencipta sejarah dalam melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang bukan sahaja di peringkat akademik, tetapi juga secara keseluruhan. “Semoga bangunan baharu SK Rugading ini dapat memberi manfaat kepada rakyat terutama anak-anak di daerah Tuaran dan sekitarnya, katanya.