Sabah Electricity dan UPPM Jalin Kerjasama Strategik Perluas Akses Elektrik di Seluruh Negeri

berita-sabahJune 2025news
Hajiji meyaksikan pertukaran dokumen di majlis menandatangani Memorandum Persefahaman.

Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Negeri (UPPM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam satu usaha strategik untuk memperluas capaian bekalan elektrik ke seluruh pelosok negeri, termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman. Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Menara Kinabalu itu disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Dalam ucapannya, Hajiji menyambut baik kerjasama tersebut yang disifatkan sebagai pelengkap kepada inisiatif kerajaan negeri dalam memastikan rakyat Sabah mendapat kemudahan bekalan elektrik yang menyeluruh.

“Usaha ini seiring dengan matlamat kerajaan untuk menyediakan infrastruktur asas yang mencukupi dan menyeluruh kepada rakyat, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman,” katanya pada 26hb Jun 2025.

MoU tersebut akan berlangsung selama setahun dan merangkumi beberapa bidang kerjasama penting antaranya:

  • Menambah bilangan sambungan bekalan elektrik di kawasan yang masih belum diliputi;
  • Membangunkan infrastruktur tenaga mampan;
  • Meningkatkan kesedaran rakyat terhadap perkhidmatan dan fungsi Sabah Electricity, termasuk penggunaan tenaga secara efisien;
  • Mewujudkan peluang pekerjaan baharu melalui projek-projek yang dijalankan di bawah kerjasama ini.

Hajiji menekankan bahawa peranan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) adalah sangat penting dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di peringkat akar umbi.

“PPM adalah pemegang amanah rakyat di kawasan masing-masing. Kerjasama ini akan mengukuhkan lagi keberkesanan peranan mereka dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya. Tambah beliau, kerjasama strategik ini juga akan menjadi saluran utama bagi segala hal berkaitan penyampaian perkhidmatan Sabah Electricity di seluruh Sabah.