Projek Solar Berskala Besar Tawau Perkukuh Agenda Tenaga Mampan Sabah
Komitmen Kerajaan Negeri Sabah terhadap pembangunan tenaga mampan terus diperkukuh dengan pelancaran Projek Solar Berskala Besar (Large Scale Solar – LSS) Q-Solar di Tawau, yang dijangka menjana sehingga 15 megawatt (MWac) tenaga bersih menjelang penghujung tahun 2026. Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata projek berimpak tinggi ini dibangunkan di atas kawasan seluas lebih 45 ekar menerusi kerjasama strategik antara Qhazanah Sabah Berhad (QSB), Qhazanah Energy Sdn Bhd (QESB) dan QSolar Tawau Sdn Bhd (QSolar).
“Projek ini bukan sahaja menyumbang kepada kestabilan tenaga di Pantai Timur Sabah, tetapi juga membuktikan iltizam kerajaan negeri dalam membina ekosistem pembangunan mampan serta menjadikan Sabah sebagai peneraju tenaga boleh diperbaharui,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Solar Berskala Besar (LSS) Q-Solar (Tawau) Sdn Bhd di Kubota, Tawau pada 2hb Ogos 2025.
Menurut beliau, penjanaan tenaga sebanyak 15MWac menerusi projek ini merupakan langkah konkrit dalam usaha menstabilkan sistem grid Sabah yang masih bergantung kepada sumber tenaga berasaskan diesel dan gas asli. “Projek ini akan mengukuhkan keupayaan sistem grid negeri, mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, dan membantu mengimbangi pengagihan tenaga antara Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah,” jelas beliau.
Pelaksanaan projek ini juga seiring dengan Sabah Energy Roadmap and Master Plan (SERAMP), yang menjadi kerangka hala tuju transformasi sektor tenaga negeri secara menyeluruh.
Hajiji menambah, projek ini turut membawa impak ekonomi yang besar kepada komuniti setempat melalui penciptaan peluang pekerjaan serta pembangunan kapasiti dan kemahiran tempatan.“Fasa pembinaan, operasi dan penyelenggaraan ladang solar ini dijangka membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, dengan penglibatan kontraktor serta pembekal dari Tawau sendiri,” katanya.
Menurut beliau, anak-anak muda tempatan juga akan diberikan latihan khusus untuk mengendalikan sistem solar, sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang membina kapasiti tempatan dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.“Aspek pemindahan teknologi dan pembangunan kemahiran rakyat Sabah dalam sektor tenaga hijau akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang progresif dan inklusif,” tambah beliau.
Ketua Menteri menyifatkan projek ini sebagai permulaan kepada perubahan landskap industri tenaga negeri, khususnya di Pantai Timur, dan memuji peranan aktif QSB serta QESB dalam melaksanakan mandat sebagai entiti pelaburan strategik negeri.“Mensejahterakan rakyat adalah tanggungjawab utama kerajaan. Saya berharap projek ini dapat disiapkan mengikut jadual dan memberi impak positif kepada rakyat serta pembangunan Sabah secara keseluruhan,” ujar Hajiji mengakhiri ucapannya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan.