Budaya Buli Perlu Dibendung

Aug 2025berita-sabahnews

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan budaya buli yang semakin berleluasa di pusat pengajian dan sekolah, termasuk sekolah agama, perlu dipandang serius serta dibendung segera. Beliau berkata kejadian itu amat mengecewakan kerana berlaku di institusi yang seharusnya mencerminkan kesucian agama.

“Saya amat kecewa dan sedih dengan insiden yang berlaku, apatah lagi apabila ia melibatkan sekolah agama. Soalnya, bagaimana budaya buli boleh wujud di sebuah institusi yang melambangkan kesucian Islam? Di manakah silapnya?” katanya ketika merasmikan Konvensyen Du’at di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah pada 26hb Ogos 2025.

Hajiji menekankan bahawa konvensyen hal ehwal agama Islam menjadi wadah penting untuk bermuhasabah, menilai kelemahan dan memperbaiki kekurangan bukan sahaja dalam sistem pendidikan, tetapi juga dalam organisasi kerajaan mahupun swasta.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap penularan propaganda palsu dan fitnah di media sosial, termasuk isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja), yang sering disensasikan pihak tidak bertanggungjawab menjelang pilihan raya. Katanya, ada juga isu berkaitan ekonomi, keselamatan, kesihatan dan alam sekitar yang turut dijadikan modal serangan terhadap pemimpin serta institusi negeri.

Menurut Hajiji, penyalahgunaan media sosial, termasuk teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI), kini menjadi cabaran besar apabila digunakan untuk menghasilkan maklumat, audio atau video palsu dengan tujuan menggugat kestabilan masyarakat. “Manfaat teknologi memang banyak, namun jika disalah guna, ia boleh menjejaskan perpaduan umat dan merosakkan generasi akan datang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa, pendidik, pendakwah, pemimpin organisasi dan tokoh masyarakat untuk memainkan peranan sebagai benteng generasi muda. “Mendidik anak bangsa dan membentuk masyarakat berakhlak adalah fardhu kifayah yang wajib dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab serta kasih sayang terhadap bangsa dan negara,” katanya.