Sabah Catat Jumlah Masjid Tertinggi di Malaysia

berita-sabahnewsSept 2025
Hajiji menandatangani plak di perasmian Surau Abu Hassan Ar-Raudhah; Hajiji menerima cenderamata daripada penganjur; dan Hajiji bersalam dengan masyarakat Islam yang menghadiri majlis perasmian.

Sabah kini mencatat jumlah masjid tertinggi di Malaysia dengan 1,127 buah masjid selain 1,222 surau, menggambarkan komitmen kerajaan negeri bersama masyarakat Islam dalam memperkukuh syiar Islam. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pencapaian itu bukan untuk bermegah, sebaliknya membuktikan kesungguhan kerajaan serta masyarakat dalam menjadikan masjid dan surau sebagai pusat pembangunan ummah.

“Rumah ibadah ini perlu terus diimarahkan dengan aktiviti ilmu, dakwah, pendidikan dan perpaduan, agar bukan hanya tersohor pada namanya tetapi juga pada pencapaiannya,” katanya ketika merasmikan Surau Abu Hassan Ar-Raudhah pada 21 September 2025 di Kampung Lok Batik Hujung, Tuaran.

Dengan perasmian itu, bilangan rumah ibadah Islam di daerah Tuaran meningkat kepada 69 buah, meliputi 31 masjid dan 38 surau. Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada komuniti Bugis yang memainkan peranan besar dalam pembinaan surau tersebut melalui semangat gotong-royong dan sumbangan dana masyarakat.

Beliau menegaskan, masjid dan surau bukan sekadar tempat beribadah, tetapi juga berfungsi sebagai pusat penyatuan masyarakat, pengukuhan ukhuwah, penyebaran ilmu, serta pembangunan sosial dan ekonomi.

Selain itu, Hajiji yakin Surau Abu Hassan Ar-Raudhah mampu menjadi nadi perpaduan setempat serta destinasi dakwah dan pelancongan agama, selaras dengan identiti Sabah sebagai negeri berbilang kaum dengan 35 kumpulan etnik dan 217 sub-etnik yang hidup harmoni.

“Kerajaan negeri akan terus komited memperkukuh institusi Islam melalui pembinaan masjid dan surau baharu serta pengimarahan rumah ibadah sedia ada demi memperkasakan nilai kerohanian dan memelihara perpaduan ummah,” katanya.