Terserah Kepada Parti Komponen Bertanding Solo
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersikap terbuka dan tidak mendesak parti komponennya untuk meninggalkan GRS, namun jika mahu bertanding solo, pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang akan datang, terserah kepada parti terbabit untuk membuat keputusan.
Hajiji - yang juga Pengerusi GRS - menyatakan keyakinannya terhadap kekuatan GRS berdasarkan kerjasama baik dalam kalangan parti komponennya, selain sokongan kuat rakyat terhadap gabungan itu. "InsyaAllah kita akan menang pada pilihan raya nanti. Kita bersama rakan-rakan komponen lain terutama sekali Parti Bersatu Sabah (PBS) masih kukuh dan insyaAllah GRS terus kekal sebagai gabungan yang kuat dan mantap di Sabah,” Hajiji kata.
"Kita mahu teruskan perjuangan ini kerana kita baru separuh jalan." katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan dan Kedai Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) Kampung Taka di perkarangan Dewan Masyarakat Daerah Pitas pada 4 Oktober 2025.




