Keutamaan Projek Mendesak, Beri Impak Segera Kepada Rakyat
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mahu keutamaan diberikan kepada projek keperluan mendesak yang boleh dilaksanakan segera serta memberi manfaat pantas kepada rakyat, khususnya dalam sektor pendidikan dan kesihatan. Beliau berkata Sabah menerima peruntukan RM6.59 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) melibatkan 1,233 projek dan program, mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memacu pembangunan negeri selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
“Saya mahu pemantauan lebih kerap terhadap pelaksanaan projek supaya tidak berlaku kelewatan. Sebarang isu seperti peruntukan, tanah dan utiliti perlu ditangani segera melalui saluran yang betul,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) pada 13 April 2026 di Menara Kinabalu.
Hajiji turut menekankan pelaksanaan projek kecil berimpak tinggi atau “low-hanging fruit” yang boleh disiapkan dengan cepat dan memberi manfaat segera kepada rakyat. “Projek kategori ini perlu dilaksanakan secara cekap, mengikut jadual dan berintegriti. Tidak sepatutnya ia mengalami kelewatan disebabkan isu setempat,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri juga memberi tumpuan kepada agenda pembasmian kemiskinan melalui SMJ 2.0 (2026–2030), dengan peruntukan belanjawan negeri berjumlah RM12.02 bilion bagi tahun 2026. Katanya, sebahagian besar dana disalurkan kepada pembangunan infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya bagi merangsang aktiviti ekonomi di seluruh negeri.
Selain itu, pelbagai inisiatif kebajikan termasuk Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) terus dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti hidup golongan rentan.
Hajiji menegaskan pelaporan berkala terhadap projek yang tertangguh adalah penting bagi memastikan isu pelaksanaan dapat diselesaikan segera. “Kerajaan negeri memandang serius kelewatan projek kerana ia boleh meningkatkan kos dan menjejaskan kepentingan rakyat,” katanya sambil menggesa semua pihak berkaitan terus komited memastikan projek pembangunan dilaksanakan mengikut jadual.




