Siling pembangunan RM12.02 bilion diluluskan untuk Sabah di bawah RMK13

berita-sabahMay 2026news

Peruntukan pembangunan berjumlah RM12.02 bilion telah diluluskan untuk Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), melibatkan pelaksanaan 1,173 program dan projek sekali gus menjadi peruntukan pembangunan terbesar pernah diterima negeri itu. Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa fokus utama bukan hanya pada jumlah perbelanjaan, tetapi keberkesanan pelaksanaan, impak pembangunan serta memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh masyarakat di seluruh Sabah. Beliau berkata sektor pembinaan akan menjadi pemacu utama kepada agenda transformasi negeri, dengan pelbagai pembangunan infrastruktur sedang giat dijalankan termasuk jalan raya, kemudahan kesihatan, utiliti dan rangkaian digital. Menurutnya, projek Lebuh Raya Pan Borneo menjadi simbol kemajuan tersebut kerana bukan sahaja meningkatkan hubungan antara kawasan, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi dan akses kepada rakyat.

Hajiji turut menyatakan bahawa bandar utama seperti Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau kini berkembang sebagai pusat bandar moden dan dinamik yang mencerminkan wajah baharu Sabah. Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian “International Construction Week (ICW) Borneo dan BuildXpo” di Hotel Sheraton Kota Kinabalu pada 12 Mei 2026. Mengambil iktibar daripada cabaran pelaksanaan terdahulu, kerajaan negeri kini memberi penekanan kepada usaha mempercepatkan penyampaian projek, memperkukuh koordinasi serta memastikan setiap pembangunan memberikan manfaat jangka panjang. Dalam tempoh lima tahun akan datang, tumpuan akan diberikan kepada pengukuhan jaringan pengangkutan, sistem logistik dan pembangunan pelabuhan bagi merangsang perdagangan dan pertumbuhan ekonomi. Pada masa sama, aspek pembangunan mampan dan daya tahan turut diberi perhatian supaya kemajuan semasa tidak menjejaskan generasi akan datang.

Selain itu, strategi lain yang dirancang termasuk memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik agar pembangunan dapat diterjemahkan kepada peningkatan kualiti hidup rakyat Sabah. Kerajaan juga berusaha meningkatkan standard industri melalui tadbir urus lebih cekap, pengukuhan kapasiti serta tahap akauntabiliti yang lebih tinggi. Dalam ucapannya, Hajiji menyifatkan ICW Borneo sebagai platform penting untuk menghimpunkan idea, kepakaran dan kerjasama strategik yang mampu menghasilkan impak sebenar kepada pembangunan negeri. Katanya, acara itu membuka ruang kepada Sabah untuk bekerjasama dengan pemimpin industri, pelabur dan profesional yang boleh menjadi rakan strategik dalam usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi negeri. Beliau turut mengalu-alukan penglibatan semua pihak dalam pembangunan Sabah dan menegaskan bahawa negeri itu terbuka kepada pelaburan serta komited untuk terus memacu kemajuan. Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.