Kelestarian Sumber Asli Tarik Pelaburan Bernilai Tinggi
Sabah memanfaatkan kekayaan sumber alam secara mampan bagi menarik pelaburan bernilai tinggi, memperluas akses pasaran dan menjana peluang ekonomi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kelestarian kini menjadi faktor penting yang mempengaruhi keputusan pelabur, selain aspek perlindungan alam sekitar dan pematuhan peraturan.
Menurut beliau, kekayaan alam Sabah merangkumi hutan, biodiversiti, sungai, pesisir pantai dan ekosistem marin yang menyokong industri utama serta sumber pendapatan rakyat. Justeru, pembangunan sektor pertanian, perhutanan, perikanan dan akuakultur perlu diseimbangkan dengan usaha pemuliharaan alam sekitar.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Sustainable Action Conference 2026 (SAC 4.0) di Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu, pada 21 Oktober 2026. Ucapan beliau disampaikan oleh Penolong Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Persidangan anjuran Control Union Malaysia dengan sokongan Kedutaan Belanda di Malaysia itu turut menekankan tindakan praktikal menerusi inisiatif Zero Waste to Landfill, yang menyasarkan sekurang-kurangnya 75 peratus sisa operasi organisasi dialihkan daripada tapak pelupusan dalam tempoh 12 bulan. Selain itu, komitmen RM40,000 bagi projek kelestarian yang diterajui sekolah di Sabah melalui inisiatif From Children to Children turut diteruskan.
Hajiji berkata, inisiatif Ekonomi Biru Sabah membuka peluang dalam perikanan mampan, akuakultur, bioteknologi marin, aktiviti maritim dan pelancongan berasaskan alam semula jadi.
Agenda tenaga negeri melalui Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) pula terus memacu keselamatan tenaga, bekalan yang lebih stabil serta peluang dalam tenaga boleh baharu dan teknologi baharu.
Beliau menegaskan Sabah mengalu-alukan kerjasama yang mampu membawa masuk pelaburan, teknologi dan kepakaran, dengan kejayaan pembangunan bukan sahaja diukur melalui jumlah pelaburan, tetapi juga nilai jangka panjang yang diwujudkan kepada negeri dan rakyat.




