Sabah Alu-Alukan Pelaburan dan Kerjasama Strategik
Sabah terus mengalu-alukan pelaburan berwibawa dan kerjasama konstruktif yang menyokong keutamaan pembangunan negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Bagaimanapun, beliau menegaskan keterbukaan itu perlu sentiasa disertai penelitian sewajarnya serta proses membuat keputusan yang bertanggungjawab.
“Penggabungan rakan kerjasama daripada pelbagai bidang dan negara merupakan langkah awal yang menggalakkan. Kita berharap perancangan teliti, penilaian sewajarnya dan hasil bermakna dapat dicapai oleh semua pihak,” katanya. Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi cadangan penubuhan Pusat Data Kecerdasan Buatan (AIDC) pertama di Sabah di Hotel Sheraton, Kota Kinabalu pada 12 November 2026.
North AIDC Sdn Bhd memeterai MoU bersama beberapa rakan strategik global bagi memulakan proses penubuhan pusat data AI berkenaan. Menurut Hajiji, pelaburan itu berpotensi membuka peluang kepada syarikat tempatan dalam bidang kejuruteraan, kerja-kerja awam, telekomunikasi, logistik dan perkhidmatan sokongan.
Pembangunan pusat data turut berpotensi merancakkan perolehan tempatan, latihan kepakaran, pemindahan teknologi serta membuka peluang kepada syarikat berpangkalan di Sabah untuk mengembangkan keupayaan masing-masing. Beliau berkata, penyertaan syarikat tempatan perlu dirancang sejak peringkat awal, termasuk peluang kepada kontraktor Sabah, kerjasama dengan universiti dan institusi teknikal, program perantisan untuk golongan belia serta laluan pembangunan keupayaan firma tempatan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan setiap cadangan pelaburan perlu terlebih dahulu memenuhi penilaian daya maju teknikal dan kewangan, perlindungan alam sekitar serta semua keperluan dan dasar Kerajaan Negeri.Katanya, pelaksanaan projek juga perlu selaras dengan keutamaan pembangunan Sabah dan kepentingan awam secara keseluruhan.
Hajiji berkata, Sabah boleh mengambil iktibar daripada pengalaman negeri lain, termasuk Johor, yang menyaksikan peningkatan minat terhadap pembangunan pusat data sehingga membuka peluang ekonomi, namun turut menimbulkan cabaran berkaitan kecukupan bekalan utiliti dan pengurusan alam sekitar yang baik.




