12 Daerah Menerima Bekalan Air
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor telah mengambil langkah proaktif untuk menangani dua isu utama, iaitu kekurangan air akibat kemarau berpanjangan dan kebakaran hutan yang mengancam kawasan terjejas.
Bekalan air diagihkan kepada 58,080 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas, meliputi 355 buah kampung di 12 daerah di seluruh negeri. Dalam usaha ini, sejumlah RM7.5 juta telah diperuntukkan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Daerah-daerah terjejas termasuk Tongod, Tuaran, Papar, Keningau, Semporna, Kota Belud, Tenom, Pitas, Kota Kinabalu, Penampang, Kudat, dan Tawau.
Selain itu, Beliau juga telah mengambil langkah untuk menangani kebakaran hutan dengan memperuntukkan RM267,444 kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat. Dana tersebut digunakan untuk membeli peralatan tambahan seperti pam mudah alih, pam sandang berenjin, dan alat pemerap api. Sehingga tarikh tersebut, telah dilaporkan 1,392 kes kebakaran hutan dan belukar yang telah merosakkan kawasan seluas 9,392.23 ekar di seluruh negeri.
Untuk mengatasi cuaca panas, Ketua Menteri turut mengumumkan bahawa operasi pembenihan awan akan dijalankan pada 28 hingga 30 Mac di kawasan yang terjejas. Operasi ini berdasarkan ramalan atmosfera awan yang sesuai untuk menghasilkan hujan, dengan kerjasama MET Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.